Pandemik COVID-19 memaksa kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ternyata memberi kesan kepada ekonomi rakyat apabila ramai terjejas sumber pendapatan. Bagaimanapun, ada yang bijak mengambil peluang dengan menjadikan minat atau hobi untuk menjana pendapatan sepanjang tempoh PKP. Realitinya, ada beberapa minat atau hobi yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan lumayan walaupun sekadar dilakukan pada masa lapang.

 

Pada era teknologi yang semakin berkembang ini, ramai anak muda gemar menggunakan aplikasi dan saluran media sosial untuk berkongsi cerita atau memaparkan gaya hidup mereka.

 
 

Justeru, mereka boleh menggunakan minat itu dengan menjadi seorang YouTuber atau pempengaruh media sosial dengan menyediakan kandungan atau maklumat relevan isu semasa. Ramai anak muda berjaya sebagai YouTuber dan menerima pendapatan lumayan. Antaranya Nur Amira Syahira yang berkongsi video beliau bermain dram, Alyssa Dezek yang menyanyi menggunakan ukulele serta Sugu Pavithra yang berkongsi video masakannya. Itu sebahagian kecil YouTuber yang memperoleh pendapatan lumayan daripada minat terhadap penggunaan teknologi.

 

Musim PKP yang mencabar juga membuktikan ramai dalam kalangan kita yang hebat memasak. Daripada minat memasak untuk keluarga ada yang mampu memperoleh jualan lumayan hasil masakan mereka. Sebut apa sahaja jenis makanan diinginkan, pasti ada menjualnya. Jika kita lihat di media sosial, ramai mengambil peluang menjual produk masakan mereka. Tidak terkecuali golongan selebriti.

 

Musim PKP lalu juga menyaksikan ramai mengambil peluang bercucuk tanam atau berkebun. Bagi yang mempunyai laman, mereka menyediakan batas kecil untuk bercucuk tanam. Namun, ada pula lebih kreatif dengan kebun mini di balkoni rumah. Ruang terhad tidak memberi kesan kepada minat berkebun mereka. Pelbagai sayur-sayuran daripada ulam raja hingga bayam Brazil, semuanya ada.

 

Ada segelintir mampu menjana pendapatan daripada hasil kebun yang tumbuh dengan cepat. Ada juga menanam pokok hiasan mini dan mampu menambah pendapatan dengan hanya menjual pokok hiasan berkenaan. Aktiviti sebegini sebenarnya bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi, tetapi boleh menjadi terapi untuk kesihatan mental dalam menghadapi PKP dan pandemik yang melanda. Jika sebelum pandemik COVID-19, ramai terlalu sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa belajar menjahit, apatah lagi untuk menjahit sehelai pakaian.

 

Namun, kesan positif PKP memberi peluang kepada golongan yang minat menjahit untuk mempelajari ilmu jahitan dan mula menjahit pakaian. Ada yang sekadar menjadikan ia hobi dan ada pula mula menerima tempahan menghasilkan pakaian untuk menjana pendapatan. Bagi yang kehilangan kerja kesan daripada pandemik ini, mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dan menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan utama.

 

Dapat disimpulkan dalam menghadapi pandemik yang tidak tahu bila akan berakhir, kita perlu menjadi lebih kreatif supaya ekonomi keluarga tidak terjejas teruk.

Jana pendapatan lebih dengan menjadi tutor atau instructor di Myclaaz.com

 

Satu daripadanya menerusi hobi atau minat terhadap sesuatu perkara membolehkan kita terus menjana pendapatan untuk keluarga kita. Golongan kreatif seperti ini sentiasa berfikiran positif apabila menghadapi sesuatu dugaan dan mencari idea untuk mengelak diri dibelenggu masalah terutama dari segi ekonomi keluarga.

 

Semoga kita sentiasa kuat dan tabah menjalani kehidupan dalam cabaran ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19.

 

Anda juga boleh menimba ilmu untuk menjana pendapatan melalui saham di Myclaaz.com

 

 

Wan Nor Hafidzah Wan Mohd

Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat

source: Berita Harian