Indikator Ekonomi sebagai Alat Analisis Pelaburan

mufid-majnun-LVcjYwuHQlg-unsplash

Indikator ekonomi adalah statistik penting mengenai aktiviti ekonomi yang dapat membantu pelabur untuk menganalisis prestasi semasa  ekonomi dan menjangka arah pergerakan ekonomi. Indikator ini juga dapat membantu pelabur membuat keputusan yang lebih baik bila hendak membeli atau menjual sesuatu pelaburan dan dapat membantu anda memahami pasang surut dan aliran pasaran ini, serta faktor-faktor kewangan yang lain.

Terdapat tiga jenis indikator ekonomi iaitu leading, lagging dan kebetulan. Leading indikator adalah pemboleh ubah yang dapat diukur atau dapat dilihat yang meramalkan perubahan atau pergerakan dalam siri data, proses, trend, atau fenomena lain sebelum ia berlaku. Leading indikator digunakan untuk meramalkan perubahan sebelum ekonomi bergerak ke arah tertentu dan membantu penganalisis pasaran dan pembuat dasar meramalkan perubahan yang ketara dalam ekonomi.

Cari instructor subjek ekonomi di sini.

 

Indikator lagging pula biasanya muncul setelah ekonomi berubah. Indikator ini umumnya sangat berguna apabila digunakan untuk mengesahkan corak tertentu. Anda boleh membuat ramalan ekonomi berdasarkan corak, tetapi indikator laggard tidak dapat digunakan untuk meramalkan perubahan ekonomi secara langsung. Manakala, indikator kebetulan memberikan maklumat penting mengenai keadaan ekonomi semasa dalam kawasan tertentu kerana ia berlaku pada masa yang sama dengan perubahan signal.

Terdapat beberapa indikator ekonomi yang dikelompokkan dalam tiga jenis yang disenaraikan di atas. Masing-masing dapat membantu pelabur, ahli ekonomi dan penganalisis kewangan membuat keputusan kewangan yang bijak. Berikut adalah beberapa jenis indikator ekonomi yang berbeza dan bagaimana ia boleh digunakan untuk memahami keadaan ekonomi.

 

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sesebuah negara adalah satu cara untuk mengukur ekonomi nasional sesebuah negara. KDNK bermaksud jumlah nilai pasaran keseluruhan barangan dan perkhidmatan terakhir yang dikeluarkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu. Ia juga mengambil kira jumlah nilai yang dicampur pada setiap peringkat pengeluaran untuk barangan dan perkhidmatan terakhir yang dihasilkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu, dan diberi dalam nilai wang. Dengan kata lain, anda perlu mencampurkan perbelanjaan pengguna, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan kerajaan, dan nilai eksport dan ditolak dengan nilai import.

Pengukuran KDNK lazimnya digunakan untuk tahu keadaan ekonomi sesebuah negara. Negara yang mempunyai KDNK yang tinggi selalunya negara kuasa besar ekonomi. Contohnya, negara yang mempunyai KNDK tertinggi di benua Amerika ialah Amerika Syarikat, Jerman di Eropah, Nigeria di Afrika dan China di Asia.

KDNK biasanya dinyatakan berbanding dengan suku atau tahun sebelumnya. Sebagai contoh, jika KDNK sesebuah negara meningkat 2% pada tahun 2020, ekonomi negara tersebut telah meningkat 2% sejak pengukuran KDNK sebelumnya pada tahun 2019. Angka KDNK tahunan sering dianggap sebagai petunjuk terbaik untuk ukuran ekonomi. Peningkatan KDNK juga menunjukkan bahawa perniagaan-perniagaan berjaya memperoleh lebih banyak keuntungan dan menunjukkan peningkatan taraf hidup masyarakat di sesebuah negara itu. Sekiranya KDNK menurun, maka ini menunjukkan sebaliknya. Tindak balas pasaran terhadap kemelesetan KDNK juga bergantung pada bagaimana ukuran KDNK satu suku tahun dibandingkan dengan suku sebelumnya, dan juga bagaimana perbandingannya dengan jangkaan ahli ekonomi untuk suku semasa.

 

Pasaran saham

Pasaran saham adalah leading indikator yang paling awal diperhatikan oleh penganalisis ekonomi walaupun pasaran saham tidak menggambarkan keseluruhan kedudukan ekonomi. Harga saham adalah sebahagiannya berpandukan jangkaan pendapatan yang akan diperolehi oleh sesebuah syarikat. Sekiranya anggaran pendapatan syarikat menepati jangkaan, pasaran saham mampu untuk memberikan gambaran kedudukan ekonomi semasa. Sebagai contoh, sekiranya pasaran saham berlaku penurunan , maka itu menunjukkan bahawa pendapatan keseluruhan syarikat dijangka menurun dan ekonomi menuju ke arah kemelesetan. Sebaliknya, sekiranya pasaran saham berlaku kenaikan, maka itu boleh menunjukkan bahawa anggaran pendapatan meningkat dan oleh itu ekonomi secara keseluruhan mungkin berkembang.

Pasaran saham tidak semestinya merupakan leading indikator yang tepat. Anggaran pendapatan mungkin salah, dan pasaran saham terdedah kepada manipulasi. Syarikat dan pelabur Bursa Malaysia dapat memanipulasi angka untuk mengembang saham mereka. Di samping itu, kerajaan dan Bank Negara Malaysia boleh memperuntukkan suntikan fiskal dengan memberikan pakej rangsangan atau strategi lain untuk menjaga pasaran tinggi agar tidak berlaku panik oleh para pelabur sekiranya berlaku krisis ekonomi. Oleh kerana pasaran terdedah kepada manipulasi, harga saham atau indeks tidak semestinya mencerminkan nilai kedudukan ekonomi dengan tepat.

 

Kadar Pengangguran

Kadar pengangguran adalah lagging indikator.   Jabatan Perangkaan Malaysia akan mengeluarkan anggaran bulanan mengenai jumlah pekerjaan yang hilang atau diciptakan pada bulan sebelumnya, serta angka peratusan yang menunjukkan berapa banyak rakyat Malaysia yang menganggur dan aktif mencari pekerjaan.

Kadar pengangguran ini ditentukan melalui tinjauan bulanan terhadap isi rumah yang menganggarkan peratusan rakyat Malaysia yang menganggur selama tempoh tinjauan dilakukan. Kadar pengangguran hanya menggambarkan orang yang tidak bekerja dan mencari pekerjaan. Jumlah pekerjaan yang dihasilkan atau hilang dalam sebulan adalah petunjuk kesihatan ekonomi dan boleh memberi kesan yang signifikan terhadap pasaran modal dan sekuriti. Apabila terdapat lebih banyak pekerjaan yang dicipta, ini menunjukkan bahawa ekonomi berprestasi baik. Lebih banyak pengambilan pekerja juga boleh menyebabkan ramalan bahawa lebih banyak orang akan mempunyai lebih banyak duit untuk dibelanjakan.

Sekiranya kadar pengangguran meningkat di luar jangkaan, atau menurun kurang dari yang dijangkakan, itu kadang-kadang boleh dikaitkan dengan penurunan pasaran saham kerana ini menunjukkan bahawa majikan tidak mampu menggaji sebilangan pekerja.

Belajar lebih mendalam mengenai ekonomi di Myclaaz.

 

 

Indeks Harga Pengguna (CPI)

CPI adalah lagging indikator, dan Malaysia sangat bergantung kepadanya sebagai salah satu petunjuk inflasi terbaik. Ini kerana perubahan inflasi dapat memacu Bank Negara Malaysia untuk membuat perubahan pada dasar monetari. CPI mengukur perubahan harga yang dibayar untuk barang dan perkhidmatan oleh pengguna bandar untuk bulan yang ditentukan. Ini pada asasnya adalah ukuran perubahan kos sara hidup. Ini memberikan ukuran inflasi yang berkaitan dengan pembelian barang dan perkhidmatan tersebut.

 

Indeks Harga Pengeluar (PPI)

PPI adalah indikator kebetulan yang mengesan perubahan harga di hampir semua sektor pengeluaran barang, termasuk perlombongan, pembuatan, pertanian, perhutanan dan perikanan. PPI juga mengesan perubahan harga untuk peningkatan sebahagian daripada sektor ekonomi yang tidak menghasilkan barangan. PPI penting kerana ini merupakan ukuran inflasi pertama yang akan terhasil dalam setiap bulan. Ini dapat mengesan pergerakan harga pada tahap borong, sebelum perubahan harga muncul di peringkat runcit.

 

Imbangan Perdagangan

Imbangan perdagangan adalah lagging indikator yang terhasil daripada perbezaan bersih antara nilai import dan eksport negara, dan menunjukkan sama ada terdapat surplus perdagangan atau defisit perdagangan. Surplus perdagangan menunjukkan bahawa ada lebih banyak wang yang masuk ke negara ini daripada keluar dan itu yang terbaik. Defisit perdagangan pula menunjukkan bahawa ada lebih banyak wang yang keluar daripada masuk. Defisit perdagangan boleh menyebabkan hutang dalam negara yang ketara. Dalam jangka masa panjang, defisit perdagangan boleh mengakibatkan penurunan nilai mata wang tempatan, kerana ia menyebabkan hutang yang besar. Peningkatan hutang akan mengurangkan kredibiliti mata wang tempatan. Ini juga dapat menyebabkan beban kewangan yang besar bagi kerajaan mendatang, kerana mereka akan terpaksa membayar hutang tersebut.

Namun, jika surplus perdagangan terlalu tinggi, sebuah negara mungkin tidak memanfaatkan peluang untuk membeli produk dari negara lain. Dalam ekonomi global, negara mengkhususkan dalam pembuatan produk tertentu sambil membeli barang yang dihasilkan negara lain dengan lebih cekap dengan harga yang lebih murah.

 

Kadar Faedah

Kadar faedah adalah lagging indikator pertumbuhan ekonomi yang didasarkan pada Overnight Policy Rate (OPR), yang ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia. Apabila OPR meningkat, peminjam lebih enggan mengambil pinjaman. Ini tidak mendorong pengguna untuk mengambil hutang dan menghalang perniagaan daripada berkembang, dan sebagai hasilnya, pertumbuhan KDNK mungkin menjadi tidak stabil.

Sekiranya kadar faedah terlalu rendah, itu dapat menyebabkan peningkatan permintaan wang dan meningkatkan kemungkinan inflasi. Peningkatan inflasi boleh memanipulasi ekonomi dan nilai mata wang. Kadar faedah semasa menunjukkan keadaan ekonomi semasa, dan juga dapat menunjukkan ke mana ekonomi mungkin menuju.

 

Pengukuhan Nilai Mata Wang

Pengukuhan Nilai Mata Wang adalah lagging indikator yang menggambarkan apabila sebuah negara mempunyai mata wang yang kuat, daya beli dan penjualannya dengan negara lain akan meningkat. Negara yang mempunyai mata wang yang kuat dapat mengimport produk daripada negara lain dengan kadar yang lebih murah dan menjual produknya ke luar negara dengan harga asing yang lebih tinggi. Namun, apabila sebuah negara memiliki mata wang yang lebih lemah, negara itu dapat menarik lebih banyak pelancong dan mendorong negara lain untuk membeli barangnya kerana harganya lebih murah.

Tuntasnya, indikator-indikator ini dapat digunakan oleh para pelabur untuk membantu mereka dalam menganalisis keadaan ekonomi semasa dan dapat menentukan waktu yang tepat dan sesuai untuk melakukan keputusan pelaburan masing-masing. Seperti yang kita dapat lihat sewaktu suku kedua 2020 yang terkesan daripada pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi yang begitu ketara dapat diperhatikan melalui indikator-indikator ini seperti KDNK menyusut 17.1 peratus, kejatuhan indeks pasaran saham sehingga ke paras 1200, kadar pengangguran yang meningkat 4.5% dan tertinggi sejak 1993, penurunan CPI dan PPI, imbangan perdagangan menguncup apabila nilai eksport menguncup 21.7 peratus dan nilai import menguncup 19.7 peratus, kadar faedah OPR catatkan empat kali perubahan (7 Julai 2020 – Potongan Kadar OPR sebanyak 25 bps kepada 1.75% (terendah dalam sejarah), 5 Mei 2020 – Potongan Kadar OPR sebanyak 50 bps kepada 2.00 %, 3 Mac 2020 – Potongan Kadar OPR sebanyak 25 bps kepada 2.50%, 22 Januari 2020 – Potongan kadar OPR sebanyak 25 bps kepada 2.75%) dan penyusutan ringgit Malaysia. Maka kemelesetan ekonomi ini melalui indikator ini menggambarkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara akan melembap.

Ditulis oleh: Syafiq Nadzmi bin Zainul Abidin

 

Lawati laman Myclaaz.com

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Subscribe to Newsletter

Join 60,000+ Subscribers

© 2021 Myclaaz. All rights reserved. Proudly Created by Cloudix Digital.